Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle
Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle
Google
 

Sunday, April 13, 2008

Khir Toyo minta Abdullah berundur, serah pada Najib

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Bukan sahaja Mantan Perdana Menteri Tun Mahahir yang menyarankan agar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan bahkan kedengaran 'protes' ini berlaku di peringkat akar umbi Umno di seluruh negara.

Secara senyap atau terbuka masing-masing meluah rasa kecewanya dengan kewibawaan Abdullah yang sentiasa dipersoalkan kelemahannya sebagai Perdana Menteri malah tidak diyakini boleh memacu masa depan Umno yang seolah-olah 'retak menanti belah'.

Terbaru pemimpin Umno yang tidak berjaya 'mempertahankan' Selangor, Dato'Seri Khir Toyo turut mencadangkan secara kias agar Abdullah meletakkan jawatan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Timbalannya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya sebagai pemimpin Umno, yang telah dilatih untuk hormat pemimpin, untuk meminta Abdullah meletak jawatan secara terbuka adalah perbuatan terakhir yang terpaksa dilakukan.

"Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung, dengan harapan hasrat itu difahami," katanya yang dipetik daripada blognya sendiri di drkhir.blogspot.com.

Sebelum itu beliau turut menyatakan hasil pertemuannya dengan Tun Mahathir yang gusar terhadap masa depan Umno dan BN jika ia terus dipimpin oleh Abdullah.

"Hasil perbincangan saya, Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah," katanya.

"Sebagai pemimpin kerdil, secara peribadi saya berpendapat Abdullah mesti berani menerima kenyataan.

"Dan membuat rancangan keluar (exit plan) atau persaraan yang melibatkan peralihan kepimpinan parti dan negara kepada Najib," katanya.

Justeru cara terbaik kata Khir ialah Abdullah dan Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra malah peralihan ini boleh dilakukan dalam waktu terdekat atau jangka masa yang lebih panjang.

"Namun ia tidak seharus terlalu lama yang boleh menjejaskan pentadbiran negara mahupun persiapan parti menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya dalam blog terbabit. - mks.

No comments: